Sabtu, 18 Februari 2017 | 11:42pm

Ketinggian ilmu perlu untuk jelaskan pindaan RUU 355


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR : Ketinggian dan kefahaman ilmu penting dalam usaha menjelaskan kepada pihak tertentu terutama mereka yang masih tidak faham berkenaan pindaan terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri.

Beliau berkata ia bagi membolehkan penjelasan disampaikan kepada mereka secara jelas dan menyeluruh, tanpa menimbulkan kesangsian.

Berucap pada Himpunan 355 di Padang Merbok, di sini malam ini, beliau turut menegaskan bahawa Islam adalah agama yang menjunjung keadilan, sudah pasti pindaan ini tidak akan menjejaskan kaum bukan Islam.

"Apa yang kita lakukan pada hari ini mungkin dilihat tidak sempurna tapi percayalah ia menuju ke arah yang lebih sempurna. (Dalam usaha meminda ini) kita mahukan keharmonian kerana Islam adalah agama tolerasi," katanya.

Beliau berkata, orang bukan Islam dan orang Islam yang masih samar dengan pindaan RUU 355, jangan bimbang dengan undang-undang Islam, kerana ia bukan bersikap menghukum tapi mendidik.

"Semua itu (usaha pindaan RUU 355) menjuruskan kepada satu matlamat untuk menjadikan apa yang terbaik dalam negara ini," katanya.

Berita Harian X