Jumaat, 23 Jun 2017 | 11:19am

Dadah: Bekas guru sekolah swasta kena hukuman gantung

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebentar tadi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada seorang wanita yang juga bekas guru sekolah swasta selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 959.5 gram pada tahun 2013.

Hakim Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhailah Abdullah, 44, selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suhailah yang memakai baju kurung berwarna coklat dan tudung labuh hitam kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan tetapi sebak ketika dibawa keluar dari pintu mahkamah.

Dia dituduh mengedar dadah pada 27 Mei, 2013 sekitar jam 11.50 pagi di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.

Pada 17 Mac 2015, pertuduhan dipinda kepada hukuman lebih ringan dan Suhailah dijatuhi hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan.

Pertuduhan dipinda dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) (r) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun, dan rotan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah keputusan Mahkamah Rayuan terhadap tertuduh dan pada 18 Julai 2016, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk tertuduh membela diri daripada pertuduhan asal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Gan Peng Kun manakala Suhailah diwakili oleh peguam Datuk Seri Rakhbir Singh.

Sementara itu Rakhbir berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

SUHAILA Abdullah, 44, yang juga bekas guru sekolah swasta, diiringi peguamnya Datuk Seri Rakhbir Singh keluar daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 959.5 gram pada tahun 2013, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
Berita Harian X