Khamis, 6 Ogos 2015 | 4:16pm

Hiroshima: Buku pengalaman Abdul Razak dilancar


Datuk Abdul Razak Abdul Hamid

TANJUNG MALIM: Buku mengenai rakyat Malaysia tunggal yang terselamat dalam kejadian pengeboman bom atom di Hiroshima pada tahun 1945, Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, dilancarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Buku 'Razak Sensei Pemangkin Jalinan Malaysia-Jepun' terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu dilancarkan Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, sempena ulang tahun ke-70 tragedi berdarah pada Perang Dunia Kedua yang mengorbankan lebih 140,000 jiwa.

Ketika kejadian dahsyat pada jam 8.15 pagi, 6 Ogos 1945 itu, Abdul Razak yang baru berusia 19 tahun sedang belajar Matematik bersama rakan baiknya yang dikenali sebagai Pengiran Yusuf dari Brunei Darussalam sebelum bom atom digugurkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS).

Abdul Rahman berkata, naskhah yang memaparkan perjalanan hidup Abdul Razak yang juga dikenali sebagai Cikgu Razak itu, perlu menjadi bacaan terutamanya kalangan anak muda masa kini yang tidak menyedari akibat buruk peperangan.

Beliau yang pernah mendidik Abdul Razak ketika menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) berkata, pengalaman Cikgu Razak khususnya dalam tragedi pengeboman itu, perlu dijadikan pengajaran mengenai kesan buruknya peperangan kepada manusia.

"Peperangan adalah sesuatu yang amat buruk dan kita manusia kadang-kala boleh menjadi begitu rakus. Peperangan bukan saja menyebabkan bumi menjadi padang jarak padang tekukur, bahkan kesannya mengenai semua pihak tanpa mengira usia.

"Saya memuji usaha penulis dan penerbit DBP dalam menerbitkan naskhah ini, sekali gus berharap semoga lebih banyak penulisan mengenai tokoh hebat seperti Cikgu Razak dapat diketengahkan pada masa hadapan," katanya pada majlis pelancaran itu.

Yang turut hadir, Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Yahaya Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor; Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa; Wakil Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Hiroku Taniguchi dan Tokoh Akademik, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang juga anak kepada Abdul Razak.

Buku tulisan Kalthom Husain, Aida Nasirah Abdullah dan Hanipah Hussin itu mencatat perjalanan kehidupan Abdul Razak yang meninggal dunia pada 18 Julai 2013, dua minggu selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-88.

Abdul Razak bukan saja tokoh akademik hebat, bahkan turut menyumbang dalam mempromosi persefahaman antara Tokyo dan Kuala Lumpur, sekali gus menyebabkan beliau dipilih mengetuai Dasar Pandang ke Timur pada tahun 1982.

Beliau juga menerima penghormatan menghadap Maharaja dan Maharani Jepun selepas dianugerahkan Hadiah Khas Yayasan Jepun pada 1995 atas sumbangannya pada hubungan Malaysia-Jepun.

Berita Harian X