Rabu, 29 April 2020 | 11:01am
Keadaan Sungai Melaka berhampiran Bandar Hilir, semakin bersih dan jernih sepanjang pelaksanaan PKP. - Foto Iqmal Haqim Rosman/BH
Keadaan Sungai Melaka berhampiran Bandar Hilir, semakin bersih dan jernih sepanjang pelaksanaan PKP. - Foto Iqmal Haqim Rosman/BH

PKP beri ruang alam bernafas

Kestabilan alam sekitar akan dikecapi jika interaksi antara organisma dengan organisma lain, juga interaksi antara organisma dengan persekitarannya seimbang.

Ketidakseimbangan sistem akan menyebabkan ketidakselesaan hidup atau lebih dikenali masalah pencemaran air, udara, kepanasan global serta penambahan longgokan sampah sarap.

Isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim-Kim pada 7 Mac 2019 menjadi ingatan buat semua masyarakat terutama penduduk di Pasir Gudang, Johor.

Ia disebabkan pembuangan sisa bahan kimia tidak terkawal sehingga menjejaskan 6,000 penduduk di kawasan berkenaan serta 2,775 orang dilaporkan mendapat rawatan di hospital.

Apa lebih menyedihkan kebanyakan mangsa terdiri pelajar 111 sekolah yang terletak berhampiran Sungai Kim-Kim.

Kejadian ini memberi pengajaran penting bagi semua industri terbabit dalam memacu ekonomi Malaysia agar mematuhi peraturan ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kerakusan manusia mengejar kemajuan menidakkan kemampuan alam sekitar yang tidak lagi boleh menerima beban pencemar dalam sistem sungai.

Fungsi semula jadi sungai untuk melakukan 'pembersihan sendiri' terhalang jika pelbagai beban pencemar memasuki jasad sungai.

Selain sungai, ancaman juga berlaku di persekitaran marin berikutan aktiviti manusia di kawasan pantai yang sering kali meninggalkan sisa pepejal plastik yang sifatnya tidak terbiodegradasi secara semula jadi.

Longgokan sampah memasuki persekitaran marin dan mengganggu hidupan. Sampah plastik tersekat pada akar pokok bakau yang merupakan ekosistem untuk ikan dan hidupan laut.

Pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya mengundang pembuangan asap industri tidak terkawal, Ini menjejaskan kualiti alam sekitar melalui pencemaran udara. Situasi kesesakan dan kepanasan ini sering berlaku di bandar besar juga kawasan perindustrian seluruh negara.

Pertambahan gas rumah hijau daripada pelbagai aktiviti antropogenik mampu meningkatkan kepanasan global secara tidak langsung. Lebih buruk ia berakhir dengan jerebu di seluruh negara terutama apabila berlaku perubahan angin monsun dengan musim kemarau yang berpanjangan .

Kerika berlaku jerebu, pelepasan asap daripada industri boleh menyebabkan fenomena itu menjadi tebal.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan virus COVID-19 bermula 18 Mac lalu, menghentikan pelbagai operasi dan aktiviti termasuk perindustrian, pelancongan, perniagaan dan pelbagai aktiviti yang tidak bersifat essential.

Langkah ini secara tidak langsung mengurangkan bilangan kenderaan di atas jalan raya yang juga menjadi penyumbang masalah pencemaran udara.

Rekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilaporkan Jabatan Alam sekitar melalui APIMS menunjukkan bacaan IPU di seluruh negara dalam keadaan baik dan sederhana.

Ia menunjukkan penurunan ketara terutama di bandar besar juga kawasan perindustrian di seluruh Malaysia. Keadaan ini diterjemahkan dengan pandangan awan yang sangat cantik berwarna biru serta bersih.

Ketenangan situasi pemandangan langit dirakamkan pelbagai golongan masyarakat dan dapat dilihat di media sosial. Kesegaran pokok dengan bunyi pelbagai kicauan binatang pada waktu pagi diharap menjadi sumber ketenangan ketika menghabiskan masa menjalani PKP di rumah masing-masing.

PKP diharapkan mengimbangi semula kesan pemanasan global agar bumi Malaysia dapat merasai proses pengurangan gas rumah hijau yang buat sementara ini dapat dikurangkan dengan terhentinya operasi pelbagai industri dan pengurangan bilangan pengangkutan.

PKP juga memberi impak positif dalam mengurangkan pencemaran air. Terhentinya pelbagai operasi seperti pembinaan, perindustrian juga pelbagai aktiviti yang mampu menjejaskan kualiti dan kuantiti jasad air secara tidak langsung, dapat mengurangkan beban pencemar yang masuk ke jasad air.

Walaupun selama ini kerajaan melakukan pelbagai inisiatif berkaitan pembersihan sungai serta kempen kesedaran untuk mencintai sungai terutamanya untuk pelbagai kegiatan ekonomi yang berada di sepanjang struktur itu, malangnya ia belum dapat menunjukkan impak positif kepada keseluruhan ekosistem di seluruh negara.

Data terkini diambil badan kerajaan dapat dijadikan penanda aras sangat baik dalam menentukan punca pencemaran jasad sungai.

Terhentinya pelbagai operasi dapat memastikan aliran air daripada bahagian hulu sungai ke hilir bertambah baik, sekali gus menjadi sumber air lebih baik terutamanya bagi loji rawatan yang berada di sepanjang sungai.

PKP diharap menyelesaikan masalah bekalan air di beberapa negeri di mana sumber utama air mengalami pencemaran bahan asing yang masuk ke jasad sungai melalui pencemaran bertitik atau sebaliknya.

Penulis adalah Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM

Berita Harian X