Jumaat, 4 Ogos 2017 | 8:32pm

TMJ lancar reka bentuk, konsep Stadium Bola Sepak JDT

GELANG PATAH: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan reka bentuk dan konsep Stadium Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang buat julung kalinya dipertontonkan kepada umum.

Reka bentuk Stadium Bola Sepak JDT yang diilhamkan daripada daun pisang dan dibangunkan Forest City itu sudah memulakan kerja tapak dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun hadapan.

Stadium berkenaan mampu memuatkan sehingga 40,000 penonton, selain memiliki kemudahan padang rumput semula jadi yang mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), sistem pencahayaan moden, sistem bunyi dan kemudahan penyiaran.

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview (CGPV), Datuk Md Othman Yusof, berkata stadium berkenaan akan dibina di atas tanah seluas 70,000 meter persegi daripada keseluruhan keluasan tapak iaitu 140,000 meter persegi.

"Forest City amat berbangga kerana dapat mengadakan kerjasama dengan pasukan bola sepak JDT dan diberi kepercayaan untuk membina stadium baharu ini.

"Sehingga kini, pembinaan stadium ini mengikut perancangan waktu ditetapkan dan kerja tapak sedang giat dijalankan. Kami jangkakan ia siap sepenuhnya pada penghujung tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran reka bentuk dan konsep Stadium Bola Sepak JDT di Hotel Phoenix Forest City di sini, hari ini.

Turut berangkat, isteri Tunku Ismail, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Eksekutif CGPV, Datuk Daing Abdul Malek Daing Abdul Rahaman; Ketua Pegawai Eksekutif Country Garden Holdings, Mo Bin dan Ketua Pegawai Eksekutif CGPV, Su Baiyan.

Stadium baharu itu juga akan menjadi gelanggang tuan rumah buat pasukan JDT yang kini beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin.

TUNKU Ismail hari ini berkenan menyempurnakan reka bentuk dan konsep Stadium Bola Sepak JDT. - Foto Mohd Azren Jamaludin
REKA bentuk stadium yang dilancarkan oleh Tunku Ismail. - Foto BERNAMA
Berita Harian X