Isnin, 28 Ogos 2017 | 8:30pm
SEBAHAGIAN penyokong Harimau Malaya menyerbu dan merempuh pagar penghadang menyebabkan keadaan yang tidak terkawal di kaunter tiket ketika jualan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea Ke 29 Kuala Lumpur diantara pasukan Malaysia menentang pasukan Thailand di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KL2017: Tiket habis, lebih 5,000 kecewa

SHAH ALAM: Kira-kira 5,000 penyokong pasukan Malaysia pulang hampa apabila tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 habis dijual hari ini.

Tiket bagi pasukan Malaysia habis dijual di Stadium Shah Alam di sini, selaku venue perlawanan manakala tiket pasukan Thailand yang dijual di Stadium Malawati turut habis.

Difahamkan, sebanyak 45,000 tiket dijual kepada penyokong Malaysia manakala lebih 3,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Thailand.

Bagi Mohd Syakir Syazwan Saharudin, 15, beliau yang mula beratur seawal pukul 7 pagi berasa amat kecewa kerana tidak dapat merasai kehangatan perlawanan akhir secara langsung.


REAKSI penyokong Harimau Malaysia yang kecewa selepas tidak dapat membeli tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea Ke 29 Kuala Lumpur diantara pasukan Malaysia menentang pasukan Thailand pada 29 Ogos di Stadium Shah Alam. Tiket mula dijual pada jam 11 pagi dan habis dijual sekitar jam 5.40 petang.- Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Saya sedih sebab hanya nak beli dua tiket saja tapi tak dapat. Beratur hampir satu kilometer, saya rasa nak pengsan sebab hari cuaca panas dan sempat makan roti saja," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Shah Alam.

Mohd Kamal Mohd Nizam, 20, pula menyifatkan insiden rempuhan oleh penyokong lain semasa kaunter tiket baru dibuka sebagai sikap pentingkan diri.

Katanya, semua pembeli sepatutnya menurut arahan pihak pengurusan bagi mengelakkan pihak yang beratur lebih enam jam tidak dapat membuat pembelian.

"Rempuhan itulah menyebabkan 20 kaunter yang dibuka hanya tinggal 10 kaunter saja. Ini melambatkan proses pembelian menyebabkan kami terpaksa beratur sangat lama. Saya amat marah," katanya.

Nur Ainaa Husna Mohd Rasid, 18, pula berkata jika tiket dijual secara dalam talian, ia dapat mengelakkan orang ramai terpaksa berbaris seawal pukul 3 pagi," katanya.

Sebanyak 20 kaunter tiket di Pintu A dan B Stadium Shah Alam dibuka mulai pukul 10.30 pagi dan kesemua tiket habis dijual pada 5.40 petang.

Berlaku sedikit kekecohan gara-gara segelintir penyokong merempuh pagar penghadang namun keadaan tersebut dikawal oleh pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU). - BERNAMA

Berita Harian X