Rabu, 11 Oktober 2017 | 9:23pm
PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan sahkan wujud konspirasi pemain dan 'Datuk' menjelang aksi terakhir Liga Super menentang Melaka United.

Bibi dedah konspirasi pemain, 'Datuk'

KOTA BHARU: Fokus Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk memastikan The Red Warriors (TRW) kekal beraksi dalam kancah Liga Super musim depan terganggu selepas terdapat dakwaan wujud konspirasi di kalangan pemain dan seorang individu bergelar 'Datuk' bagi memusnahkan impian itu.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan ketika dihubungi mengesahkan wujud konspirasi itu dan pihaknya sedang mengenalpasti pemain dan individu terbabit.

Katanya, pihaknya juga akan mendapatkan bukti dan berharap perkembangan terbaru itu tidak menjejaskan motivasi pasukan.

"Memang ada agenda (luar) yang tengah berlaku... Kita akan cuba dapatkan bukti mengenai hal ini. Semoga kita (semua) bersatu dan kuasa Allah dapat mengatasi segalanya," katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Sementara itu, sumber mendedahkan perjumpaan individu yang bergelar 'Datuk' bersama lima pemain terbabit dikesan berlaku di sebuah hotel bagi memastikan Kelantan tewas kepada Melaka United (MU) pada aksi terakhir Liga Super, 28 Oktober ini sekali gus TRW tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihak pengurusan KAFA sudah berusaha sebaik mungkin bagi menyelamatkan pasukan dari jatuh ke saingan Liga Perdana.

"Kita mengesan terdapat perjumpaan lima pemain dengan individu berkenaan, semalam. Individu berkenaan turut menawarkan habuan kepada pemain terbabit," kata sumber berkenaan.

26476 dibaca
Berita Harian X