Sabtu, 6 Oktober 2018 | 8:08pm
B Sathianathan. - Foto NSTP

'Saya dah cakap'

KUALA LUMPUR: Pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) seharusnya lebih proaktif terhadap masalah yang berlaku di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan tidak membiarkan ia berlarutan sehingga lima bulan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan mempersoalkan jika ada pegawai yang dihantar untuk melakukan pemeriksaan terakhir di AMD sebelum membuat keputusan membawa masuk pelatih NFDP menginap di akademi itu.

“Pemain NFDP ibarat seperti berpindah ke dalam rumah yang tidak siap. Kalau kita yang mahu berpindah sudah tentu kita akan pastikan semuanya siap sebelum berpindah masuk.

“Masalah berlarutan sehingga lima bulan, jadi sepatutnya selepas sebulan, NFDP sudah memikirkan alternatif lain daripada terus menginap di situ.

“Lagipun, pemain sedang melakukan persiapan ke Kejuaraan Bawah 16 (B-16) Tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, jadi kalau banyak masalah di AMD, mengapa mereka tidak minta bantuan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” soalnya ketika dihubungi hari ini.

Sathianathan yang juga jurulatih FELDA United turut berpendapat teknik pembuatan padang yang digunakan di akademi itu mungkin tidak bersesuaian sehingga menyebabkan permukaannya berbukit dan digenangi air.

Katanya, beliau sendiri pernah menyaksikan bagaimana padang latihan itu dibuat ketika mengunjungi AMD yang sedang dalam pembinaan, dua tahun lalu.

“Mereka memaklumkan bahawa padang itu adalah padang latihan NFDP tetapi saya lihat cara mereka membuat padang itu, nampak sangat tidak sesuai.

“Saya hairan kenapa NFDP tetap meneruskan rancangan mereka walaupun saya sudah memberitahu mereka mengenai perkara itu dan sekarang lihatlah selepas dua tahun.

“Masalah padang juga tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal sehinggalah ia dilaporkan dalam media semalam,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jelas kecewa dengan pelbagai kepincangan di AMD yang bernilai RM85 juta sehingga boleh merencatkan pembangunan bola sepak negara.

Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke akadami itu di Gambang semalam mendapati banyak permasalahan dan kelemahan serius yang perlu ditangani.

Katanya, kemudahan latihan dan peralatan yang serba kekurangan dan tidak sesuai sekali gus gagal menepati tujuan akademi itu dibangunkan sebagai pusat latihan dalam melahirkan jelmaan Mokhtar Dahari dan bakat bola sepak bertaraf antarabangsa.

Berita Harian X