Ahad, 24 Februari 2019 | 8:24pm
BEKAS pemain tengah Perlis, Mohd Badhri Radzi. - Foto Syamsi Suhaimi

Piya kemuka tuntutan pada PFA

KUALA LUMPUR: Bekas pemain tengah Perlis, Mohd Badhri Radzi dalam proses membuat beberapa tuntutan terhadap Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) walaupun pasukan itu sudah disingkirkan daripada Liga Malaysia (Liga M).

Ejen kepada pemain terbabit, Wan Mohd Anwari Wan Amran berkata beliau kini dalam proses mendapatkan maklumat terperinci mengenai kontrak pemain berusia 36 tahun itu daripada persatuan berkenaan.

Katanya, beliau perlu mendapatkan segala maklumat terlebih dahulu sebelum boleh mengemukakan laporan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

"Sebelum membuat aduan atau tuntutan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), kami kena lapor kepada PFAM dulu. Laporan akan dibuat kepada PFAM dalam masa terdekat dan ia mengenai apa yang PFA sudah buat kepada Piya (Mohd Badhri).

"Kami akan tuntut semua termasuk tunggakan gaji, kos ujian perubatan dan deposit rumah yang dijelaskan sendiri sebelum ini. Tindakan ini diambil bagi menuntut keadilan terhadap pemain," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Rabu lalu menyingkirkan Perlis daripada Liga M susulan masalah kewangan serius yang dihadapi pasukan itu, namun PFA diberi masa untuk kemukan rayuan hingga Selasa

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, kelmarin bertindak melepaskan jawatan sejurus selepas persatuan negeri itu menggantung tugas beliau bersama dua individu lain.

Wan Mohd Anwari bagaimanapun menegaskan tindakan itu bukan jalan yang tepat untuk Ahmad Amizal bersikap lepas tangan terhadap masalah yang membelenggu PFA termasuk dibebani isu tunggakan gaji pemain.

"Apa-apa pun dia kena bertanggungjawab untuk selesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan bukannya harap presiden baharu yang datang menyelesaikan isu itu," katanya.

Berita Harian X