Isnin, 11 March 2019 | 3:17pm
MORA (dua dari kiri) bersama Joon-boo (dua dari kanan) memegang bola rasmi sebagai tanda simbolik sambil diapit Hariss (kiri) dan kapten Gyeongnam FC, Bae Ki-jong bagi pertembungan Kumpulan E Liga Juara Juara Asia (ACL) di Stadium Larkin, Johor Bahru. - Foto Rizar Mohd Noor

Gyeongnam FC sedia jinakkan JDT

JOHOR BAHRU: Kelab dari Korea Selatan, Gyeognam FC optimis mampu menjinakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membawa pulang tiga mata apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Pengendali Gyeongnam FC, Kim Jong-boo, berkata walaupun kelebihan terletak kepada JDT yang beraksi di laman sendiri dan terpaksa bermain dalam keadaan cuaca panas namun semua itu bukan halangan kerana persiapan rapi menghadapi kelab dari Malaysia itu tampak tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Ya pasukan JDT tampil buat pertama kali dalam kancah ACL dan kami juga serupa JDT dan ia pasti perlawanan menarik namun kami tidak boleh terlalu yakin sebaliknya harus berhati-hati kerana lawan kami adalah kelab terbaik di Malaysia.

"Malah keupayaan JDT tewas tipis 1-2 kepada Kashima Antler yang merupakan juara bertahan agak mengejutkan. Bagaimanapun kami anggap JDT bernasib baik kerana saya melihat rakaman perlawanan itu dan kelab dari Jepun itu tidak menurunkan kesebelasan utama.

"Kami turun ke Johor Bahru dengan satu misi, iaitu menang dan ketika aksi Liga 1 Korea apabila tewas 2-1 kepada Incheon United, saya tidak menurunkan barisan terbaik kerana mahu beri tumpuan pada aksi ACL dan untuk menentang JDT pastinya barisan terbaik akan diturunkan," katanya.

Ditanya sama ada mengenali corak permainan JDT, Jong-boo mengakui betapa informasi mengenai kekuatan skuad Harimau Selatan dikongsi Do Dong-hyun yang pernah bersama Kelantan dan Terengganu pada musim 2017 dan 2018.

Beliau berkata berdasarkan informasi yang diberikan Dong-hyun, JDT dibarisi pemain berkualiti yang kebanyakan pemain berpengalaman di pentas antarabangsa tatkala mewakili skuad Harimau Malaya.

"JDT juga melakukan pelaburan yang besar untuk mendapat pemain import yang terbaik dan saya akui pasukan itu tidak boleh diperlekehkan namun kami akan tetap beri tentangan untuk mencari kemenangan pertama.

"Mengenai faktor cuaca yang panas, ia bukanlah penghalang kerana kami berpengalaman menjalani latihan pra-musim di Thailand, Januari lalu dan bagi saya faktor bukan masalah besar buat pemain," katanya.

Berita Harian X