Khamis, 3 Oktober 2019 | 10:19pm
SHAHREL Fikri Fauzi
SHAHREL Fikri Fauzi

Giliran Shahrel pula cedera

KUALA LUMPUR: Masalah kecederaan terus menghantui skuad kebangsaan menjelang aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, minggu depan.

Selepas beberapa pemain termasuk penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim, Nor Azam Azih dan J Partiban dilaporkan mengalami kecederaan, penyerang Shahrel Fikri Fauzi menjadi pemain terbaharu menerima nasib sama.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan Shahrel mengalami kecederaan pangkal paha pada sesi latihan, semalam.

"Dia (Shahrel) menjalani separuh daripada latihan semalam, jadi kami sekali lagi kena pantau tahap kecergasannya sama ada boleh diturunkan atau sebaliknya untuk aksi persahabatan berdepan Sri Lanka.

"Kami juga kena tunggu laporan daripada pasukan perubatan. Sebagai jurulatih saya gembira dengan perkembangan pemain sepanjang latihan, tapi pada masa yang sama bimbang dengan kecederaan pemain," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Cheng Hoe sebelum ini terpaksa memanggil penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid bagi menggantikan Ifwat yang mengalami kecederaan.

Kelmarin, bekas pengendali Kedah itu turut memanggil pemain Sabah, Azizan Nordin sebagai persediaan untuk mengisi tempat Azam yang masih dibelenggu kecederaan buku lali.

Selain itu, Cheng Hoe juga menjelaskan kemungkinan besar akan menguji pemain yang jarang beraksi bagi perlawanan berdepan Sri Lanka, Sabtu ini.

"Ini (perlawanan berdepan Sri Lanka) peluang terbaik buat pemain yang kurang beraksi menunjukkan sesuatu dan sebagai jurulatih saya kena bagi peluang kepada semua pemain.

"Dua pemain itu (Khairulazhan dan Azizan) sudah pernah bersama pasukan kebangsaan dan saya rasa tiada masalah buat mereka (menyesuaikan diri). Cuma kita kena beri peluang bermain terutama kepada Azizan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X