Sabtu, 12 Oktober 2019 | 1:10pm
PENOLONG jurulatih skuad Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi.

Tok Gajah berdepan masalah kecederaan

KUANTAN: Skuad Pahang mengesahkan empat pemain utama masih lagi belum pulih daripada kecederaan menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Kedah di Alor Setar, pada 19 Oktober ini.  

Pemain berkenaan ialah Muslim Ahmad yang mengalami kecederaan lutut, Nor Azam Azih, Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Faisal Halim, masing-masing kecederaan buku lali.  

Penolong jurulatih skuad Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi berkata, setakat ini, hanya kecederaan Nor Azam menunjukkan perkembangan positif untuk pulih sebelum bertemu skuad Lang Merah.  

"Bagaimanapun, Nor Azam masih belum menyertai latihan bersama pasukan bersama tiga pemain lain iaitu Muslim, Zuhair Aizat dan Faisal.  

"Saya jangkakan tempoh baki seminggu lagi sebelum aksi separuh akhir pertama mereka akan kembali bersama pasukan.  

"Khidmat mereka amat ditagih untuk memantapkan jentera pasukan di bahagian tengah dan pertahanan," katanya.  

Ahmad Shaharuddin berkata, sekembalinya lima pemain yang menyarung jersi negara pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 membantu memperkasakan kembali skuad itu.  

"Kita juga mengharapkan mereka berada pada prestasi terbaik sebaik bersama pasukan nanti," katanya. 

Lima pemain itu ialah kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha bersama skuad Harimau Malaya manakala Safuwan Bahadin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia).

Berita Harian X