Sabtu, 14 Disember 2019 | 1:40pm

Jersi edisi khas FAS laku keras

SHAH ALAM: Jersi edisi khas yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ‘laku keras’ apabila mendapat sambutan yang hangat dan menggalakkan daripada penyokong pasukan itu.

Dengan hanya 2,000 helai jersi berwarna hitam itu yang dikeluarkan FAS, Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon menjangkakan semuanya akan habis terjual sebelum Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya, penghujung Februari ini.

“Jualan jersi edisi khas ini amat menggalakkan dan kita memang mengeluarkan 2,000 helai sahaja dan tidak akan menempah semula. Jika habis terjual, maka habislah.

“Setakat ini, 20 peratus sudah ditempah secara dalam talian dan kita akan menjualnya secara fizikal pada hari perlawanan namun ia tertakluk selagi stok masih ada,” katanya ketika ditemui pada Hari Bolasepak Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, hari ini.

Sekali imbas, jersi edisi khas Selangor itu mirip jersi edisi khas yang dikeluarkan pasukan Bundesliga, Borussia Dortmund yang turut berwarna hitam bagi meraikan ulang tahun ke-110 pasukan itu dan ia habis terjual dalam tempoh tiga jam.

Dalam majlis sama, Selangor turut memperkenalkan barisan pemain skuad utama yang bakal menggalas cabaran untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.

Hampir keseluruhan pemain hadir dan menggayakan jersi edisi khas itu termasuklah pemain baharu seperti Safuwan Baharuddin, Brendan Gan, Rodney Celvin Akwensivie dan Nick Swirad.

Sebagai rekod, Selangor mengekalkan kebanyakan pemain daripada musim lalu namun menggugurkan lapan pemain iaitu Amri Yahyah, Nurridzuan Abu Hassan, Faiz Nasir, Latiff Suhaimi, Norhakim Isa, Fandi Othman serta dua pemain import iaitu Michal Nguyen dan Endrick Dos Santos.

Pemain bola sepak Selangor memakai jersi edisi khas berwarna hitam pada Majlis Pelancaran Pasukan Selangor di Stadium Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X