Isnin, 8 Jun 2020 | 9:46pm
JAGUH compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.
JAGUH compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

Atlet memanah kembali bersemangat turun berlatih

KUANTAN: Keputusan kerajaan membenarkan sukan memanah kembali aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disambut baik atlet acara berkenaan yang kebanyakannya dikatakan hampir hilang semangat selepas berehat terlalu lama.

Jaguh compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh berkata sukan memanah tidak membabitkan atlet yang terlalu ramai dalam satu masa, sekali gus tidak ada masalah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, walaupun tidak ada sebarang pertandingan yang akan disertai sepanjang tahun ini disebabkan pandemik COVID-19, namun atlet perlu sentiasa mengadakan latihan bagi memastikan kemahiran mereka tidak hilang.

"Saya berharap atlet memanah dapat meneruskan latihan selepas ini, dengan mematuhi semua SOP sepanjang berada di gelanggang latihan. Guna pelitup muka, pastikan jarak sosial dan kerap guna pencuci tangan pembasmi kuman," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Fatin Nurfatehah yang sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim berkata dia akan turun berlatih dalam masa terdekat bersama rakan dalam usaha mengasah semula kemahirannya.

Bagi pemanah berpengalaman negara Mohd Juwaidi Mazuki, dia akan mendapatkan pengesahan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum memulakan sesi latihan dan aktiviti lain.

Berita Harian X