X
Sabtu, 18 Januari 2020 | 12:22pm
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah

Atlet sukan permotoran juga berhak SHAKAM

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah percaya dia dan rakan lain dalam sukan permotoran berhak untuk menerima hadiah skim kemenangan sukan (SHAKAM) seperti mana diterima atlet sukan lain.

Pelumba berusia 25 tahun itu, berkata sekiranya perkara berkenaan dapat direalisasikan, ia akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelumba negara bagi mengharumkan nama Malaysia peringkat antarabangsa.

"Saya fikir ia adalah satu idea (pelumba diberi hadiah kemenangan sukan) yang sangat baik. Ini akan mendorong semua pelumba negara untuk tampil lebih berani bersaing sesama mereka bagi mengharumkan nama negara.

"Kami juga berjuang demi negara dan membawa nama Malaysia. Hadiah kemenangan seperti ini boleh dianggap sebagai bonus buat pelumba sekiranya mencipta kejayaan.

"Jadi, saya fikir sukan permotoran ini salah satu sukan yang layak untuk dipertimbangkan bagi diberikan hadiah kemenangan memandangkan sukan ini berisko tinggi," kata Hafizh yang akan beraksi bersama pasukan Aspar musim ini.

Hafizh berkata demikian ketika mengulas permintaan pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang mahu keringat mereka turut diangkat seperti mana atlet sukan lain di Malaysia.

BH Sukan menerusi laporan khas sebelum ini melaporkan atlet dalam sukan permotoran didakwa tidak menerima kemudahan seperti atlet sukan lain termasuk aspek lanjutan pendidikan, insentif, kebajikan, kaunseling dan teknologi sains sukan di bawah badan berwajib.

Mengulas lanjut, Hafizh berkata dia tidak mempunyai masalah bagi menggunakan kemudahan di Institut Sukan Negara (ISN) namun mengakui rakan-rakan yang lain seperti yang beraksi dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia menghadapi kesukaran untuk mendapat kemudahan di agensi itu.

"Apabila saya pulang ke Malaysia, saya tidak mempunyai masalah untuk menjalani latihan di ISN dan perkara itu diuruskan oleh SIC (Litar Antarabangsa Sepang).

"Namun, saya mengharapkan pelumba yang beraksi dalam perlumbaan di peringkat Asia dapat menggunakan kemudahan yang ada di ISN sama seperti atlet lain," katanya.

 

 

Berita Harian X