Rabu, 11 Julai 2018 | 8:55am

'Dengar luahan hati mereka...'

KUALA LUMPUR: Keluarga dan orang sekeliling tidak perlu malu atau rendah diri jika ada anak, adik-beradik, saudara mara dan rakan mereka mengalami kemurungan.

Sebaliknya, bantu dengan bercakap dan mendengar luahan hati mereka, sekurang-kurangnya dengan perkongsian masalah dapat meredakan beban emosi ditanggung.

Mengikut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganggarkan 30 peratus orang dewasa di negara ini menghidap kemurungan sekurang-kurangnya sekali atau lebih dalam kehidupan mereka.

Ketua pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah, berkata 80 peratus daripada pesakit kembali normal dengan rawatan intensif dan melalui kaunseling secara sistematik dan komprehensif.

Katanya, sisi kaunseling diperlukan bagi membantu individu yang mengalami kemurungan adalah bergantung kepada tahap masalah yang dialami.

"Setiap individu berbeza menjalani proses kaunseling dan ia bergantung kepada punca menyebabkan kemurungan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mengikut laporan Kementerian Kesihatan, kira-kira 18,336 orang termasuk seawal usia 16 tahun dikesan mengalami pelbagai tahap kemurungan sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 11,811 orang (4.03 peratus) dikesan mengalami kemurungan tahap ringan; 3,680 orang (1.26 peratus) tahap sederhana manakala 1,682 orang (0.62 peratus), berada pada tahap teruk.

Abdul Shukur berkata, gangguan perasaan mengakibatkan seseorang melalui kesedihan berpanjangan dan keletihan berlarutan sekurang-kurangnya bagi tempoh dua minggu.

Katanya, masalah kemurungan dapat diatasi sekiranya stigma masyarakat berkaitan itu dapat ditangkis.

"Keluarga memainkan peranan penting dan lebih prihatin dan memberi sokongan kepada keluarga lain mengalami tanda awal kemurungan.

"Sokongan diberikan keluarga boleh membuatkan individu kemurungan menjadi lebih kuat dan positif melawan masalah yang dihadapi," katanya.

Tahap serius masalah kemurungan ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun ia menular dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani.

Abdul Shukur berkata, masalah ini tidak harus dipandang remeh dengan pelbagai persepsi negatif terhadap individu mengalami masalah kemurungan.

Abdul Shukur berkata, diskriminasi masyarakat menjadi halangan utama bagi individu menderita kemurungan atau masalah berkaitan mental untuk mendapatkan rawatan pemulihan dengan segera.

"Keterbukaan masyarakat memberikan kesan positif terhadap pesakit mengalami kemurungan akan memberi sokongan dan bantuan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

"Keprihatinan dapat mengelakkan individu berdepan masalah hilang pertimbangan yang akan memudaratkan kualiti kehidupan termasuk isu mencederakan dan membunuh diri," katanya.

Beliau berkata, kesan masalah kesihatan mental akan meninggalkan impak terhadap konteks kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Kesan buruk paling utama ialah kepada diri sendiri kerana tanggapan terhadap kemampuan diri mula berubah bahkan menyusut.

"Emosi memainkan peranan dalam kesihatan tubuh kita. Kekuatan fizikal adalah bergantung kepada kekuatan mental dan emosi. Jika emosi terganggu, kesihatan diri juga akan menurun.

"Status hubungan menjadi teruk kerana individu kemurungan menjadi antisosial bahkan menyumbang kepada pelbagai tindakan luar kawal merbahaya seperti dilaporkan dalam media cetak, elektronik dan media sosial," katanya.

Kata Abdul Shukur, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, tiga tahun lalu mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.9 peratus.

"Prevalen masalah kesihatan mental juga paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 16 hingga 19 tahun dan individu berpendapatan rendah.

"Terdapat beberapa rawatan diketengahkan antaranya adalah kaunseling diberikan kepada individu mengalami kemurungan bermula dari awal tanda-tanda di kesan," katanya.

Pengurusan emosi sangat penting bagi mengelakkan kemurungan secara serius.

Katanya, setiap individu perlukan kekuatan emosi yang stabil bagi menghadapi apa jua ujian dan cabaran yang dihadapi dalam setiap fasa kehidupan.

"Menyedari kepentingan pengurusan emosi perlu dititik beratkan kini, LPPKN membangunkan Modul Terapi Minda bagi menguruskan emosi.

"Program Terapi Minda ini bertujuan memupuk kemahiran masyarakat dalam mengurus tekanan dengan lebih berkesan demi meningkatkan daya tahan, produktiviti kerja dan kesejahteraan individu, keluarga dan organisasi.

"Dibangunkan dengan menerapkan pendekatan psikoterapi melalui kombinasi antara minda, jasad dan emosi dalam mencapai kehidupan sejahtera," katanya.

Abdul Syukur berkata, sebelum rawatan diberikan, penilaian dan pemeriksaan terhadap kemurungan individu dilakukan terlebih dulu untuk pengumpulan maklumat.

"Antara data dikumpulkan termasuk sejarah penyakit keluarga, tahap gejala dihadapi, tempoh mengalami gejala dan jika ada risiko mencederakan diri sendiri atau cubaan membunuh diri.

"Tahap rawatan adalah berbeza atau mungkin kombinasi antara rawatan rawatan yang ada," katanya.

INFO:

Faktor kemurungan

* Perubahan kimia dalam otak

* Keturunan

* Persekitaran

* Pengambilan ubat,

* Penyalahgunaan dadah

* Ketagihan arak

Tanda-tanda:

* Hilang minat terhadap hobi dan aktiviti lain

* Cepat letih dan tidak bertenaga

* Berasa putus asa

* Perasaan bersalah

* Rasa diri tidak berguna

* Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur

* Hilang selera makan

* Penurunan berat badan

*Percubaan bunuh diri

* Sukar membuat keputusan

Tanda fisiologi

* Sakit kepala

* Sakit badan

* Gangguan penghadaman

* Kurang keinginan seksual

* Pergerakan menjadi terhad

* Resah

*Mudah cemas atau fobia

Berita Harian X