Isnin, 4 Jun 2018 | 9:12am
WANITA perlu peka dengan mendapatkan rujukan daripada individu yang mahir pakar sebelum mengambil keputusan menyelenggara kereta. - Foto hiasan

Ambil peduli hal selenggara kereta

KUALA LUMPUR: Sikap tidak ambil peduli mengenai keadaan kenderaan antara punca utama pemandu terutama dalam kalangan wanita sering terpedaya dengan dikenakan bayaran penyelenggaraan yang membebankan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata kebanyakan bengkel biasanya tidak begitu jujur dalam hal membaik pulih kenderaan rosak terutama didatangi wanita yang tidak mengetahui selok-belok membaik pulih kenderaan.

Menyedari wujudnya unsur penipuan itu, beliau berkata, wanita perlu peka dengan mendapatkan rujukan daripada individu yang mahir pakar sebelum mengambil keputusan menyelenggara kereta.

Selain itu, katanya pemandu perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan jauh. Jangan ambil mudah bagi mengelak berlaku kemungkinan tidak diingini sepanjang perjalanan.

Bayar mahal

"Bagi yang tidak arif mengenai pemilihan alat gantian, mereka mudah ditipu terutama ketika hendak membezakan antara yang asli dan tiruan.

"Situasi sebegini perlu dielakkan kerana mereka tidak boleh membuat keputusan terbaik disebabkan desakan pihak penyelenggara dengan amaran kereta tidak selamat. Taktik sebegini menyebabkan pemandu wanita akur walaupun terpaksa membayar harga lebih.

"Wajar jika mereka ke pusat penyelenggaraan bersama rakan bagi mendapatkan pandangan kedua sebelum membuat keputusan menukar alat ganti seperti disaran," katanya baru-baru ini.

Justeru, andai berlaku kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan, Nadzim berkata, PPIM menyarankan pemandu mendapatkan khidmat penyelenggaraan di 1,400 bengkel disenaraikan di bawah Persatuan Pengusaha Industri Bengkel Malaysia (PPIBM).

Beliau berkata, bengkel berkenaan yang juga ahli persatuan itu lebih bertanggungjawab dan menukar alat ganti mengikut keperluan pada harga berpatutan.

"Bengkel yang berada di bawah persatuan berkenaan tidak boleh sesuka hati manipulasi pengguna kerana mereka adalah ahli berdaftar," katanya.

Selain itu, dalam membanteras penipuan agensi yang menawarkan perkhidmatan tunda kereta, PPIM bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Callman SeMalaysia (PERCAMAS) bagi mengurangkan kes pengguna ditipu.

Sementara itu, Presiden PPIBM, Norazizi Dijai, berkata hampir semua bengkel berhadapan tempahan penyelenggaraan yang tinggi pada waktu puncak terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Caj tambahan

Beliau menolak dakwaan pemilik bengkel mengenakan harga tinggi pada waktu berkenaan, caj tambahan dikenakan jika pekerja terpaksa mengambil masa tambahan untuk menyiapkan kerja.

"Pemilik bengkel dan mekanik ada keluarga, mereka mahu pulang beraya di kampung masing-masing. Apabila terpaksa menyiapkan kerja lebih masa, harga tambahan sudah tentu dikenakan.

"Caj tambahan ini berpatutan, berbanding jika kenderaan tidak diselenggara pemandu berhadapan risiko kereta rosak ketika dalam perjalanan," katanya.

Beliau berkata, PPIBM dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga dalam usaha menyiapkan aplikasi mudah alih berkaitan hal penyelenggaraan kenderaan dan akan siap tidak lama lagi.

Berita Harian X