Trending
Nasional

Thailand sedia kerjasama kawal sempadan negara

SONGKHLA: Thailand sedia memberi kerjasama mempergiat kawalan keselamatan di sempadan Thailand-Malaysia susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di Perlis pada Selasa.

Komander Tentera Bahagian Ke-4, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) Thailand-Malaysia menghubungi Pengerusi RBC Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Ab Rahman hari ini.

Beliau berkata, mereka berbincang untuk mempertingkat kawalan di sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelak insiden yang sama berulang.

Pasukan keselamatan, katanya, akan mempertingkat kawalan di sepanjang sempadan termasuk mempergiat rondaan dan mewujudkan pos kawalan di lokasi strategik bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta berkongsi maklumat.

"Kami tidak mahu insiden sama berulang. Pihak berkuasa Thailand sedia memberi kerjasama kerana ia salah satu saluran untuk mengelakkan insiden tidak diingini berlaku," katanya kepada media selepas meninjau lokasi kejadian di Daerah Sadao, Songkhla.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Padang Besar, Perlis itu.

Kriangkrai berkata, hubungan diplomatik kedua-dua negara berada pada tahap yang baik.

"Sehubungan itu, langkah yang sewajarnya perlu diambil," katanya.

Sementara itu, Kriangkrai ,berkata pihak berkuasa Thailand mengenal pasti suspek yang terbabit dalam insiden berbalas tembakan itu.

"Tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan," katanya.

Semalam media melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika menjalankan rondaan dengan rakan setugasnya di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Dalam kejadian pertama pada awal pagi Selasa lalu. Baharuddin maut manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar. - BERNAMA