Trending
Nasional

Neelofa, suami didakwa di mahkamah esok

SEREMBAN: Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) akan didakwa di Mahkamah Seremban, esok atas dua pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dua pertuduhan berkenaan ialah gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in' atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pertuduhan ke atas pasangan terbabit akan dijalankan selepas kertas siasatan kes perlanggaran SOP PKPB membabitkan kedua-duanya dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya hari ini.

Katanya, kedua-dua penama berkenaan akan dituduh mengikut Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

"Muhammad Haris akan dihadapkan dua pertuduhan iaitu yang pertama gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in' atau menulis secara manual dan tuduhan kedua iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebagaimana ditetapkan dalam SOP PKPB.

"Neelofa pula dituduh ekoran gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in' atau menulis secara manual.

"Hukuman bagi setiap pertuduhan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Penama akan dituduh di Mahkamah Seremban esok.

"Pihak polis menasihati orang ramai terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam memutuskan rantaian COVID-19. Prinsip tiada individu yang mengatasi undang-undang adalah diutamakan dalam penguatkuasaan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Pasangan itu berdepan pertuduhan melakukan kesalahan itu atas kesalahan melanggar SOP dengan merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, dekat sini untuk membeli karpet.

Pada 4 Mei lalu, pengacara dan usahawan popular serta pendakwah bebas itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan.

Kedua-duanya memberi keterangan selama empat jam berhubung pelanggaran SOP selepas merentas negeri bagi membeli karpet di sebuah kedai di Nilai 3.

Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu kedai karpet terbabit.

Isu Neelofa menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet dan netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh merentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.

Perkara berkenaan mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai karpet.

Dalam video yang dikongsi juga, dia dilihat merakam seorang pekerja dan turut mempromosikan kedai terbabit yang terletak di Nilai 3.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Che Zakaria Othman yang mengesahkan hal itu berkata, siasatan dilakukan mengikut perundangan yang ada dan tiada sebarang keistimewaan diberi.