Trending
Nasional

MMC Gamuda menang dua anugerah berprestij antarabangsa

KUALA LUMPUR: MMC Gamuda, kontraktor bagi pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya, mengakhiri 2021 dengan cemerlang apabila memenangi dua anugerah berprestij antarabangsa bagi kecemerlangan dalam pengorekan terowong.

Selain itu, MMC Gamuda dijangka meraih anugerah berprestij ketiganya bagi suku terakhir tahun ini.

Terdahulu, rangkaian terowong dan stesen bawah tanahnya bagi MRT Putrajaya, memenangi Projek Utama Tahunan Persatuan Pembinaan Terowong dan Ruang Bawah Tanah Antarabangsa (ITA) yang berpengkalan di Switzerland, Khamis lalu.

Kemenangan itu menyaksikan MRT Putrajaya menewaskan projek Terowong Ismailia Mesir di Terusan Suez serta Projek Teluk Shantou, China yang juga pembinaan terowong dasar laut terbesar dunia.

Pembinaan MRT Putrajaya yang dijadual dibuka sepenuhnya pada 2023, turut merangkul Projek Antarabangsa Tahunan di Anugerah Kejuruteraan Tanah 2021 di London yang dianjurkan penerbitan rasmi. Persatuan Geoteknik British sejak 1968.

Pengarah Projek MMC-Gamuda, Adil Putra Ahmad, berkata berdasarkan pengalaman luas mereka, MMC Gamuda berjaya memenuhi kriteria penghakiman daripada segi kejuruteraan hingga ke pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan dalam menguruskan kesemua fasa penyampaian projek aliran Putrajaya itu.

Beliau berkata, penganugerahan itu juga mengiktiraf ekosistem unik MMC Gamuda yang sentiasa dalam keadaan bersedia mengendalikan sebarang risiko COVID-19 kepada projek MRT Putrajaya, sekali gus memastikannya berfungsi dengan selamat serta mengikut jadual.

Antara langkah dilaksanakan ialah menubuhkan satu-satunya makmal saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) milik persendirian di negara ini dengan 40 kru perubatan berdedikasi bagi menjalankan saringan mingguan untuk lebih 20,000 tenaga kerjanya.

"MMC Gamuda juga membina kuarters pekerja berpusat (CLQ) serta kuarters kuarantin berpusat (CQQ) dalam masa kurang empat bulan bagi membolehkan pengagihan tenaga kerja bagi mengurangkan kepadatan dan menambah baik penjarakan fizikal.

"CLQ sedia ada juga dikonfigurasi dengan kemudahan umum yang diasingkan bagi meminimumkan potensi penyebaran COVID-19 selain blok kuarantin khusus untuk kes positif atau disyaki," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kejuruteraan Gamuda, Justin Chin, yang mengetuai projek itu berkata, pasukannya bekerja keras mengatasi pelbagai cabaran bagi memastikan tugasan dapat diselesaikan tepat pada masanya.

"Kami berjaya menghasilkan inovasi pada saat yang sangat sukar untuk industri pembinaan dan pada masa sama, mengatasi cabaran teknikal untuk pelanggan serta pihak berkepentingan dalam persekitaran pandemik," katanya.

Pendekatan komprehensif MMC Gamuda dalam aspek keselamatan dan kesihatan itu membolehkannya menerima Lima Bintang dalam Audit Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan anjuran British Safety Council (BSC) selama empat tahun berturut-turut sejak 2018.

MMC Gamuda adalah satu-satunya pemenang anugerah ini di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

Berdasarkan prestasi keselamatan dan kesihatannya, BSC turut menganugerahkan MMC Gamuda anugerah Pedang Kehormat selama dua tahun berturut-turut dengan penganugerahan ketiga kini masih dalam penilaian.