Trending
Nasional

PLUS sasar bayaran tol terbuka di Jambatan Pulau Pinang menjelang September

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang membuat persiapan bagi mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kredit di Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berhubung bayaran tol secara terbuka mengguna kad debit atau kredit di beberapa lebuh raya termasuk jambatan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam merealisasikan matlamat itu menjelang September ini.

"Kami sedang giat membuat persiapan untuk mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kad kredit di lorong sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), selain e-wallet Touch 'n Go di Jambatan Pulau Pinang.

"Manakala di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), persediaan sedang dibuat untuk menguji sistem pembayaran terbuka menggunakan kad kredit atau debit di Plaza Tol Kubang Semang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, pelaksanaan pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kredit itu dijangka memberikan lebih pilihan kepada pengguna lebuh raya apabila dilaksanakan kelak.

"PLUS sentiasa bersedia meneroka dan menguji kaedah-kaedah pembayaran tol yang

lebih mudah dan memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya," katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi cadangan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di Lebuhraya Utara-Selatan, minggu depan.

Terdahulu, Alexander memaklumkan beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (DUKE), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.