Trending
Nasional

Kerajaan sasar 1.5 juta EV dalam negara menjelang 2040

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan sejumlah 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) dalam negara menjelang 2040, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sasaran itu susulan berlaku gerakan 'penghijrahan' bagi infrastruktur EV di peringkat global, membabitkan pertukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menggunakan petrol kepada EV.

Beliau berkata, sasaran baharu itu juga meningkat berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) sebelum ini, iaitu sejumlah 90,000 kenderaan EV pada 2040.

"Kerana kita merasakan dengan adanya tekanan daripada negara-negara maju untuk 'berhijrah' ke kenderaan elektrik, maka kita perlu lebih bersedia.

"Atas dasar itu, ia juga tergambar (berkait) dengan sasaran-sasaran tentang (pembinaan) stesen pengecasan, yang dibina oleh misalnya Gentari Sdn Bhd (Gentari), Tenaga Nasional dan juga pihak swasta seluruh negara dalam usaha membantu usaha eletrifikasi berkenaan," katanya.

Nik Nazmi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berkaitan pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memastikan keberkesanan Strategi Rendah Karbon Jangka Panjang (LT-LEDS) pada sesi soal jawab, hari ini.

Mengenai status terkini hasrat Malaysia menjadi negara sifar karbon menjelang 2050 di dalam Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata kerajaan sedang membangunkan Pelan Hala Tuju dan Tindakan Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) serta LT-LEDS.

"Apabila siapnya LT-LEDS, ia akan membantu kerajaan untuk menggubal Akta Perubahan Iklim ke arah yang juga kita harap dapat menyumbang kita mencapai negara sifar bersih seawal-awalnya tahun 2050," katanya.

Nik Nazmi berkata, Pelan Hala Tuju dan Tindakan NDC dan LT-LEDS dijangka akan dimuktamadkan pada suku keempat 2023.– BERNAMA