Trending
Nasional

Tangguh wajibkan sijil halal perbaharui lesen premis- PERMEKA

KOTA BHARU: Persatuan Pengusaha Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (PERMEKA) memohon Kelantan menangguhkan keputusan mewajibkan sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan bagi pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan dan minuman.

Pengerusinya, Nik Hassan Mohd Zain, berkata keputusan itu membebankan mereka yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga kecil.

Katanya, menerusi persatuan berkenaan terdapat lebih 100 premis dengan kebanyakannya beroperasi di Kota Bharu dan hampir kesemua mereka tidak mempunyai sijil halal.

"Perkara ini hanya diketahui baru-baru ini selepas ada dalam kalangan kami mahu memperbaharui lesen perniagaan sebelum

dimaklumkan perlu memohon sijil halal bagi mendapatkan lesen berkenaan.

"Ternyata keputusan mengejut ini membebankan kami kerana urusan untuk permohonan sijil halal bukannya mudah dan mengambil masa.

"Setiap produk yang kita gunakan di kedai perlu mendapatkan maklumat daripada pembekal. Selain urusan berkenaan, keadaan kedai juga perlu menepati piawaian untuk mendapat kelulusan sijil halal," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ada di kalangan mereka terpaksa berhabis puluhan ribu untuk menyediakan kemudahan sebagaimana yang diperlukan.

Justeru katanya, pihak persatuan akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini.

"Keadaan kami peniaga kini sudah terbeban dengan kenaikan barang, ditambah pula dengan isu ini. Berniaga sekarang pun tenat dengan ada kalanya pemilik sendiri tidak dapat gaji.

"Kami merayu agar kerajaan negeri dapat menangguhkan keputusan itu. Jika kami tiga membuat permohonan sijil halal sebagaimana yang dimunta, sudah tentu kami akan dikenakan kompaun selepas ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, memaklumkan pemilik dan pengusaha premis makanan dan minuman di Kelantan diwajibkan memiliki sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan.

Katanya, setakat ini syarat itu diwajibkan oleh MPKB-BRI dan pelaksanaannya akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.