Trending
Politik

GWGF yakin proses pendaftaran parti selesai sebelum PRU-15

KUALA SELANGOR: Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) yakin proses pendaftaran parti Keluarga FELDA SeMalaysia untuk dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail, berkata pihaknya ada sedikit masalah teknikal yang memerlukan semakan terperinci, terutama dari segi perlembagaan parti sebelum permohonan dikemukakan.

"Kita yakin pendaftaran dapat diselesaikan segera sebelum PRU-15," katanya pada sidang media selepas program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan di Puncak Alam Golf Driving Range, di sini, hari ini.

Mengenai program, Rozali berkata, seramai 100 ahli Kelab Bersekutu 2 Roda (KB2R) berkumpul dan menyertai aktiviti berkenaan.

"Aktiviti ini diharap dapat memberi semangat permuafakatan dan konsep Keluarga Malaysia dapat disemarakkan sempena ulang tahun kemerdekaan negara.

"Kami tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama mengingati sejarah kemerdekaan dan perjuangan insan terdahulu untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan," katanya.