KUALA LUMPUR: Penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia, sebaliknya lebih terhad kepada gangguan pentadbiran kerajaan negara itu, demikian menurut penganalisis.
Namun, kesan tidak langsung boleh dirasai dalam pasaran kewangan global berikutan kelewatan penerbitan data ekonomi penting, termasuk data pengangguran yang sepatutnya diumumkan minggu ini.
Justeru, situasi itu boleh meningkatkan spekulasi dalam pasaran saham dan mencetuskan turun naik harga dalam jangka pendek.
Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan, berkata bagi Malaysia, ekonomi keseluruhan dijangka tidak terjejas, namun pasaran saham tempatan mungkin menerima kesan sekiranya penutupan kerajaan AS berlarutan melebihi dua minggu.
"Dari perspektif pasaran, ketidakpastian akibat kemungkinan penutupan kerajaan AS lazimnya mendorong peningkatan turun naik tidak menentu jangka pendek, terutamanya selepas tempoh pulangan yang kukuh. Namun, ini hanya di pasaran AS," katanya kepada BH.
Kerajaan AS memasuki fasa penutupan selepas Kongres gagal mencapai perjanjian pembiayaan, menghentikan kebanyakan operasi persekutuan.
Mengulas lanjut, Mohd Sedek berkata, rekod lalu menunjukkan penutupan kerajaan AS tidak memberi kesan berkekalan kepada pasaran saham.
Menurutnya, pasaran saham positif separuh masa ketika penutupan kerajaan dan lebih tinggi dalam kebanyakan kes tiga dan enam bulan kemudian.
"Secara lebih luas, prestasi pasaran cenderung lebih didorong oleh prospek pertumbuhan ekonomi, pendapatan dan faedah berbanding landskap politik," katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, penutupan kerajaan bererti perkhidmatan kerajaan AS akan menjadi lebih terhad disebabkan sekatan terhadap perbelanjaan kerajaan.
Justeru, katanya, keadaan itu akan bergantung berapa lama situasi itu akan berlangsung.
"Oleh itu, prospek pertumbuhan ekonomi AS dilihat semakin tidak menentu. Berikutan ekonomi AS adalah ekonomi terbesar di peringkat global maka kelembapan ekonomi AS dilihat bakal memberi kesan terhadap ekonomi global termasuk Malaysia.
"Sekiranya penutupan kerajaan AS ini berpanjangan, dikhuatiri ia boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi," katanya.