Trending
Amerika

Sepucuk surat buat Biden

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meninggalkan sepucuk surat kepada penggantinya, Joe Biden sebelum melangkah keluar dari Rumah Putih buat kali terakhir, kata jurucakapnya, Judd Deer,

Surat itu adalah tradisi untuk diserahkan kepada Presiden yang akan memasuki Rumah Putih.

Empat tahun lalu, Barack Obama turut menulis surat kepada Trump sebelum menamatkan penggalnya sebagai Presiden, yang ditinggalkan di Pejabat Oval.

"Kita hanya berada di pejabat ini buat sementara waktu. Itu menjadikan kita sebagai penjaga kepada tradisi dan institusi demokrasi yang diperjuangkan nenek moyang kita.

"Terlalu banyak onak dan duri dalam politik, namun ia bergantung kepada kita untuk menentukan apa yang ditinggalkan terhadap instrumen demokrasi ini, sekurang-kurangnya teguh seperti mana kita menemuinya," katanya.

Antara yang paling diingati adalah surat ditulis George H W Bush kepada Bill Clinton, individu yang menyebabkan Bush sekadar menjawat jawatan Presiden selama sepenggal selepas tewas pada pilihan raya 1992.

Surat Bush ketika meninggalkan Rumah Putih pada 1993 itu mengimbau rasa teruja dan hormatnya ketika melangkah masuk ke Pejabat Oval.

"Akan tiba saat sukar, tapi jangan biarkan pengkritik melemahkan atau menekan anda.

"Anda akan menjadi Presiden kami ketika membaca surat ini. Saya mendoakan anda dan keluarga sentiasa sihat. Semoga berjaya," tulisnya.

Trump yang enggan menerima kekalahannya, tidak pernah mengucapkan tahniah kepada Biden sejak memenangi pilihan raya Presiden. - AFP