Trending
Selebriti

'Tak pernah jumpa, kerja dengan Rita'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahirah MacWilson menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan artis lain dan terkejut apabila diheret dalam kontroversi mengaitkan Rita Rudaini.

Pelakon drama Jangan Benci Cintaku itu berkata, dia tidak tahu menahu mengenai perkara yang dibangkitkan itu dan berharap individu berkaitan berjumpa dengannya bagi menyelesaikan kemelut yang timbul.

“Secara jujur, saya terkejut dengan cerita yang timbul kerana tidak pernah bekerja dan berjumpa dengan Rita sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya baru tiga tahun dalam industri dan rasanya tidak pernah saya buat salah atau bergaduh dengan sesiapa, kecuali perkara yang sudah berlalu.

“Saya juga tidak meminati rakan artis lain, tetapi tidak sehingga membenci. Mungkin perkara itu disampaikan dalam konteks yang berbeza, jadi pemahaman turut berubah,” katanya.

Isu antara dua pelakon jelita itu tercetus apabila Rita meluahkan perasaan kesal menjadi mangsa fitnah individu tidak bertanggungjawab yang mengatakan, dia mencemburui dan dengki dengan pencapaian Zahirah.

Pelakon berusia 42 tahun itu bagaimanapun, membidas kenyataan itu dengan menegaskan, tiada sebab untuk dia bersikap begitu kerana dia mempunyai masalah dengan Zahirah.

Rita menegaskan, tidak mengenali Zahirah secara dekat kerana belum pernah berjumpa atau bekerjasama, membuatkan dia terkejut apabila isu itu dibangkitkan ketika satu temu bual selepas kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, baru-baru ini.

Sementara itu, berkongsi perkembangan kerjayanya, Zahirah bakal memulakan penggambaran filem aksi arahan Ghaz Abu Bakar yang turut menampilkan Zizan Razak dan pelakon popular Indonesia, Luna Maya.

“Semestinya, saya teruja kerana buat pertama kali bakal menjayakan filem aksi, namun judulnya belum diputuskan lagi,” kata Zahirah.