Trending
Bola

Zamsaham beli kelab Indonesia

KUALA LUMPUR: Selepas Kelantan FC, usahawan dan pakar pelaburan, Norizam Tukiman terus melebarkan sayapnya dalam industri bola sepak di negara jiran apabila sah menjadi 'bos' baharu pasukan Liga 2, PSPS Riau.

Perkembangan itu diumumkan Norizam menerusi akaun Facebooknya, Zamsaham selepas dia selesai mengambil alih pasukan bola sepak berpangkalan di republik itu.

Norizam menjelaskan, pengambilalihan PSPS Riau dilihat menempa satu sejarah baharu kerana Kelantan FC dan pasukan itu dimiliki individu yang sama dan berhasrat untuk mengangkat pasukan ke tahap yang lebih berdaya saing.

"Saya adalah peminat bola sepak dan pelabur, jadi saya melihat masa depan dan bukan mahukan keuntungan sekarang.

"Saya sayang penyokong PSPS Riau sebagaimana saya sayang penyokong Kelantan FC yang mahukan pasukan bola sepak mereka naik.

"Kini Kelantan FC boleh terus bekerjasama dengan PSPS Riau kerana pemiliknya (adalah orang) sama," kata Norizam.

Menariknya, kedua-dua pasukan memiliki nama julukan yang sama di mana jika Kelantan FC adalah 'The Red Warriors', PSPS Riau pula bergelar 'The Lucky Warriors'.

Dalam masa sama, pasukan berpangkalan di Pekanbaru itu turut berkongsi perkembangan terbabit dan mengucapkan selamat datang kepada Norizam menerusi akaun Instagram mereka.

"Selamat datang Presiden baru PSPS Riau, Bapak Norizam Tukiman, efektifnya tanggal 3 Mei 2021. Dengan pengalaman di sepakbola, klub menantikan pembaharuan PSPS Riau di masa yang akan datang," kata pasukan itu.