Trending
Lain-lain (Sukan)

Rizal cabar Fadhil pecah rekod

KUALA LUMPUR: Bekas pelumba negara, Mohd Rizal Tisin melontarkan cabaran kepada Muhammad Fadhil Zonis untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara satu kilometer ujian masa di siri kedua Piala Dunia, Manchester, hujung minggu ini.

Pemenang dua emas Sukan SEA 2017 berusia 19 tahun itu akan beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama dalam acara berkenaan.

"Bagi saya, ini adalah peluang kepada Fadhil untuk cuba memecahkan rekod yang saya lakar pada 2009 itu. Sudah agak lama rekod itu bertahan dan saya menaruh harapan dia mampu memecahkannya kali ini.

"Dia sudah menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih negara, John Beasley. Saya percaya banyak ilmu yang sudah dicurahkan Beasley di Melbourne bagi meningkatkan prestasi Fadhil," katanya.

Rekod kebangsaan satu minit 01.658 saat dilakar Rizal semasa memenangi gangsa di Kejohanan Dunia 2009.

Fadhil hampir memecahkan rekod Rizal apabila melakukan 1:01.889s ketika memenangi emas Sukan SEA pada Ogos disusuli memenangi acara berkenaan di Piala Trek Asia di India bulan lalu dengan masa 1:04.028s sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Manchester.

"Saya percaya dia mampu melakukan catatan lebih baik di Piala Dunia kerana ramai pelumba terbaik dunia akan turun. Namun pada masa yang sama dia tidak boleh meletakkan tekanan kepada diri sendiri.

"Hanya beri fokus kepada diri sendiri dan turun beraksi tanpa terlalu memikirkan persekitaran seperti pesaing dan penonton. Apa yang penting dia menamatkan perlumbaan dan puas hati dengan persembahan yang dipamerkannya," tambahnya.

Fadhil akan menyertai empat pelumba negara iaitu Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan bersaing di Manchester yang dijadualkan berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini.