Trending
Nasional

UMNO Kelantan desak KDN siasat dakwaan PN rasuah pengundi

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak boleh menerima hakikat Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan DAP bagi membentuk Kerajaan Perpaduan sehingga membuat pelbagai tuduhan, kata Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Beliau berkata, parti berkenaan yang gagal menjadi kerajaan menuduh DAP jahat ketika BN bersama parti itu menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan, walhal PN pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini.

"PAS kata DAP jahat, kita (UMNO) pun dulu kata DAP jahat dan sehingga hari ini tak kata pun mereka baik. Tapi sejahat-jahat DAP, PAS sudah 'cium mulut' lama dah malah pernah sepentas dengan Muhyiddin (Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Masa mereka bersama tak ada kata DAP jahat, tapi masa kita baru nak dekat (bentuk Kerajaan Perpaduan) baru nak kata jahat. Ini bukan gila talak sebab tak pernah berkahwin tapi perogol," katanya di Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Berucap mewakili Kelantan ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO, beliau berkata, UMNO Kelantan turut mendesak supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan terhadap video PN merasuah pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata, rakaman video yang menunjukkan pengundi melafazkan 'sumpah' mengundi PAS di Kelantan tular di media sosial.

"Video viral berlaku dalam PRU-15 'Wallahi saya undi PAS' yang inilah merosakkan negara kerana merasuah... Maka mereka itulah perasuah yang paling besar," katanya.

Katanya, video berkenaan jelas menunjukkan kelemahan PN yang mengakui parti mereka bersih tetapi menggunakan wang untuk merasuah pengundi.