Trending
Amerika

Biden bakal tandatangan perintah eksekutif atasi pelbagai krisis

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih, Joe Biden akan menandatangani perintah eksekutif bagi menangani pandemik COVID-19, ketidakstabilan ekonomi, perubahan iklim dan isu ketidakadilan kaum di negara itu, kata Ketua Staf pentadbirannya, Ron Klain semalam.

Ia akan dilakukan sebaik beliau selesai sesi majlis angkat sumpah sebagai Presiden AS pada Rabu ini.

"Dalam sepuluh hari pertama di pejabatnya, Biden akan mengambil tindakan tegas untuk mengatasi empat krisis ini, mencegah bahaya mendesak dan tidak dapat dipulihkan lain, selain memulihkan kedudukan Amerika sebagai sebuah negara dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Biden bakal berdepan cabaran besar selepas mengambil alih pentadbiran AS dari Donald Trump memandangkan angka kematian akibat COVID-19 di negara itu hampir mencecah 400,000 orang dengan lebih sejuta kes baharu dalam tempoh seminggu berikutan penularan jangkitan itu yang tidak terkawal.

Ekonomi AS juga mencatatkan kemerosotan dengan pengurangan sebanyak 10 juta peluang pekerjaan, di samping kebanyakan perniagaan terjejas teruk.

Biden mencadangkan suntikan dana bernilai AS$1.9 trilion (RM7.6 trilion) bagi pelan pemulihan ekonomi negara itu, selain mempercepatkan usaha mendapatkan vaksin COVID-19 yang tergendala.

Biden antara lain akan turut menandatangani perintah untuk bergabung semula dengan Paris bagi perjanjian iklim dan menarik semula sekatan yang dibuat oleh Trump yang sebelum ini tidak melarang kemasukan orang Islam dari negara tertentu.

"Presiden akan mengambil tindakan - bukan hanya untuk memperbetulkan kerosakan besar pentadbiran Trump, tetapi juga menggerakkan negara kita ke depan," katanya. -AFP